menarik untuk dibaca!!
http://www.utusan.Forum tajdid garap formula untuk perkasakan IslamOleh SITI AINIZA KAMSARISESUNGGUHNYA Allah akan mengutuskan kepada umat pada
awal setiap satu kurun (seratus tahun), orang yang
mentajdidkan bagi umat itu agamanya. (Riwayat Abu
Daud)
Ini merupakan maksud sebuah hadis Rasulullah yang
antara lain membawakan pengajaran bahawa tajdid pada
agama boleh menjadi satu formula kepada umat Islam
untuk kembali perkasa.
Berdasarkan hadis itu, usaha Muslim Professionals
Forum Berhad (MPF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) Islam, menganjurkan forum mengenai tajdid wajar
diberi pujian.
Forum bertajuk Gerakan Tajdid: Sejarah Perkembangan
dan Cabaran di Era Globalisasi itu dibarisi pakar
bedah jantung dan paru-paru, Profesor Madya Dr. Farouk
Musa; juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Kapten
Hafiz Firdaus Abdullah; pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik; dan
pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd.
Asri Zainul Abidin.
Bagi memahami istilah tajdid itu, Maszlee berkata,
ulama terkenal Dr. Yusof Al-Qaradawi mendefinisikan
tajdid sebagai mengembalikan sesuatu kepada bentuk
asalnya sehingga ia menjadi baru kembali walaupun ia
sebenarnya sesuatu yang telah lama.
Maszlee berkata, tajdid
bukannya menggantikan Islam
dengan ajaran yang baru atau kita
tertipu dengan
pemahaman Barat yang menganggap reformasi dan tajdid
mempunyai erti yang sama.
“Ini kerana
reformasi lebih membawa unsur untuk
membuang segala yang lama dan
menggantikan dengan yang
baru.
“Malangnya, pemahaman seperti inilah yang melanda
segelintir umat Islam. Lalu mereka bertindak untuk
merubah, membuang dan merosakkan ajaran Islam atas
nama tajdid,” katanya.
Menurutnya, tajdid juga disebut dalam al-Quran sebagai
islah (pembaikan) dan
taghyir (perubahan) yang
mestilah difahami sebagai proses perubahan
berlandaskan akidah atau iman dalam usaha
mengembalikan kefahaman dan amalan Islam yang sebenar
dalam kalangan umat.
Pembaharuan ini lazimnya dilakukan dalam dua bentuk
iaitu
Tajdid Kulliy (Tajdid makro) dan Tajdid
Juziy
(Tajdid Mikro). Tajdid Kulliy melibatkan perubahan
secara
menyeluruh dalam segenap kehidupan umat Islam
dengan agama menjadi paksi utama kepada berlakunya
perubahan tersebut.
“Ia berjaya dilakukan oleh beberapa tokoh terkemuka
Islam dalam sejarah. Antaranya Khalifah Umar Abdul
Aziz dan Salahuddin Al Ayubi yang bukan sahaja
mengembalikan sistem pemerintahan Mesir tetapi
kejayaan membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada tentera
Salib,” kata Maszlee.
Tajdid secara mikro pula adalah seperti yang dilakukan
oleh Imam As-Shafie yang mewujudkan kaedah memahami
hukum yang dikenali sebagai Usul Fiqh.
“Begitu juga Imam Al-Bukhari yang menjadikan hadis
Rasulullah sebagai satu cabang ilmu (Mustalah Hadis)
dan Imam Al-Ghazali yang memerangi falsafah sesat dan
mengembalikan umat Islam kepada pemurnian akidah
Islam,” kata Maszlee.
Hafiz pula berkata, tajdid amat perlu dilaksanakan
terutama oleh umat Islam di negara ini yang diancam
gerakan-gerakan globalisasi yang hebat.
“Sehinggakan globalisasi membuka tafsiran baru
mengenai agama dengan menjadikan agama itu ‘hamba’
kepada peradaban kini. Inilah antara yang boleh
difahami tentang gerakan liberal yang dilihat semakin
cuba melebarkan sayap mereka.
“Mereka beranggapan azab kubur, turunnya Nabi Isa dan
wanita yang menutup aurat sebagai punca kemunduran
umat Islam, lalu ia perlu ditolak daripada pegangan
umat Islam.
“Golongan ini juga
menambahkan amalan dalam ibadat
tertentu dan
mengurangkan ibadat lain,” katanya.
Globalisasi, menurut Hafiz, juga menyebabkan
tersebarnya
pemikiran pluralisme yang antara lain
bermaksud semua agama adalah baik, sama dan benar.
“Turut diperjuangkan oleh golongan pluralisme ini
ialah soal hak asasi manusia bahawa setiap individu
berhak melakukan apa sahaja yang dikehendaki.
“Sehinggalah mereka menyokong pemikiran feminisme yang
menyuruh wanita menjadi seumpama lelaki tetapi pada
waktu yang sama bersaing dan membenci lelaki,”
katanya.
Sementara itu, Mohd. Asri berkata, dalam sejarah Islam
golongan agama adalah
tonggak kepada kebangkitan umat.
“
Kesyumulan Islam membentuk pemikiran para ulama agar
kritis, maju dan membangun,” katanya.
Beliau menegaskan, untuk melakukan tajdid dengan
kembali kepada sumber akidah, hukum dan panduan
kehidupan Islam iaitu al-Quran dan sunah, seseorang
itu mesti
menepati disiplin keilmuan yang dituntut.
“Ia tidak boleh dibayangi kepercayaan khurafat,
mengambil hadis-hadis yang ditolak, cerita-cerita
Israiliyyat yang menyanggahi nas-nas, mempercayai
mimpi, kisah ahli agama dan cerita kewalian yang tiada
sandaran. Ini kerana
hanya Rasulullah seorang yang
maksum,” tegas Asri.
Beliau turut menekankan keperluan tajdid pada pegangan
akidah atau ketauhidan terhadap Allah.
“Sedikit sebanyak beriman secara taklid dan jumud
menyebabkan berlakunya pelbagai fenomena yang
merosakkan keutuhan iman dan akidah umat Islam sejak
akhir-akhir ini.
“Ini kerana Islam tidak difahami daripada persoalan
akidah, pada hal ia adalah teras dan asas. Ini
menyebabkan syirik serta khurafat begitu berleluasa
dalam pemikiran umat,” katanya.
Tajdid juga, kata Asri, perlu dalam cara berfikir
untuk membangun, membaiki dan menyusun kembali umat
yang perlu selaras mengikut ajaran al-Quran dan sunah.